KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur meneruskan aliran rendah bagi hari keempat berturut-turut pada Khamis, menjejaki penurunan yang dialami pasaran niaga hadapan getah serantau dalam keadaan kebimbangan mengenai permintaan getah asli.

Peniaga berkata pasaran juga dipengaruhi oleh sentimen kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi untuk tempoh lebih lama.

Niaga hadapan getah Jepun meneruskan penurunan bagi sesi ketiga hari ini ekoran tekanan harga minyak yang lebih rendah selain kelembapan pengeluaran tayar di China menjelang cuti panjang, katanya.

"Namun begitu, penurunan selanjutnya telah dikekang oleh kenaikan harga minyak mentah ditambah dengan kelemahan ringgit berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga minyak mentah meningkat sedikit pada Khamis susulan kebimbangan mengenai krisis yang semakin meluas di rantau pengeluaran utama Timur Tengah walaupun permintaan bahan api menurun di Amerika Syarikat (AS), pengguna minyak terbesar dunia, di tengah-tengah tanda-tanda kesuraman ekonomi.

Peniaga berkata pengendali pasaran akan memantau data ekonomi AS yang akan dikeluarkan lewat hari ini untuk mendapatkan petunjuk lanjut mengenai kekukuhan ekonomi AS bagi mengukur hala tuju pasaran.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun empat sen kepada 753.5 sen sekilogram manakala harga susu getah pukal susut 4.5 sen kepada 703.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal LGM untuk GMM 20 adalah 754 sen sekilogram manakala susu getah pukal ialah 700.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA